15 Sept
Jam 6.50 ptg -
Panggilan telefon yg kubuat untuk bertanyakan aktiviti famili ttg hari cuti umum 16 sept bertukar menjadi satu kejutan..kejutan yang sudah dijangka akan berlaku. Makngah telah meninggal dunia..
Innalillahiwainna ilaihirojiun..
Arwah paralized (half brain death) selama hampir 4 thn. Dalam tempoh tu, arwah tak boleh bergerak, makan, bercakap atau melakukan apa-apa aktiviti seperti orang normal. Arwah hanya mampu terbaring dan terlantar di atas katil. Makan dan minum pun hanya dengan susu khas melalui tiub yang disambungkan ke perut..Sungguh kasihan..Keadaan arwah nazak dan nafas arwah menjadi tidak menentu sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Abah dan mama ada di kampung, Astana Raja, Rembau. Aku pada waktu tu ada di bilik mahallah di UIA, lepas pulang dari kerja.
Jam 7.30 mlm -
Usai solat maghrib, aku pulang ke Seremban dan mengambil adik di rumah dan kami pulang ke Rembau, kampung kami.
Jam 10 mlm -
Alhamdulillah, aku dan adik selamat sampai ke kampung. Jenazah arwah terbaring kaku di anjung tingkat atas rumah wan ku. Ramai juga sedara mara yg sudah dtg dan menjenguk arwah, walaupun belum semua. Aku dan famili sempat membaca Yassin utk disedekahkan kepada arwah.
16 Sept
Jam 10.45 pagi -
Jenazah sedang dimandikan ketika kami sampai ke kampung. Semalam kami balik ke Seremban, tak jadi tidur kampung sebab adikku kena kerja (praktikal). Setelah dikapankan, jenazah dibawa dalam van jenazah untuk disolatkan di masjid kampung sebelum dikebumikan di kawasan perkuburan Islam kampung kami.
Jam 11.45 pagi -
Kami (Aku, adik dan sepupu) menuju ke pusara dgn kereta. Ini kali pertama dalam hidupku aku melihat jenazah dikebumikan. Entah dari mana datangnya keberanian untuk menyaksikan semua itu. Dari hal jenazah dimandikan, dikapankan sampailah dikebumikan, semuanya aku saksikan live dengan mata sendiri. Sebelum ni, nak tengok jenazah mandi pun tak berani huhu..
Sewaktu imam membaca talqin, aku jd insaf sendiri. Mati itu satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan. Semua orang akan merasakan mati. Masanya aje yang berbeza..Ada yang cepat, ada yang lambat.. Beruntunglah bagi orang yang selalu bertaubat dan beramal soleh sepanjang hidupnya.. dan sengsaralah pula bagi orang kafir dan orang yang tidak sempat bertaubat semasa hayatnya lalu menemui ajalnya. Nauzubillahi min dzalik...
Walaupun kami semua sedih dengan pemergian arwah, namun kami redha. Arwah dah lama sakit dan menderita. Paling kasihan dengan Pakngah Samad (abang abah), suami arwah yang sangat sabar menjaga isterinya sepanjang tempoh itu. Inilah namanya cinta sejati... Walaupun isteri terlantar sakit dan tidak mampu berbuat apa-apa, tetapi Pakngah tetap setia menjaga isterinya. Kami kagum dengan ketabahan Pakngah. Tak semua suami yang dikurniakan sifat sabar dan setia seperti Pakngah. Apa pun, kami pasti Pakngah sudah redha dengan pemergian arwah isteri tercinta...
Sememangnya ketentuan Allah adalah yang terbaik. Al-Fatihah buat arwah Makngah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang soleh dan solehah..Ameen.
Showing posts with label Family. Show all posts
Showing posts with label Family. Show all posts
Friday, September 17, 2010
Monday, July 26, 2010
Anjuran Islam Untuk Berkahwin
Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan. Malah tiada agama tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia.
Islam melihat perkahwinan sebagai satu daripada fitrah manusia. Setiap manusia perlukan teman hidup yang dapat mententeramkan jiwa dan berkongsi suka dan duka. Itulah sebabnya Allah menjadikan manusia ini berpasangan-pasangan (ar-Rum: 21). Melalui perkahwinan juga, Allah mengurniakan manusia dengan keturunan yang melaluinya umat manusia berkembangbiak (an-Nahl: 72). Selain ayat-ayat ini, Allah juga berfirman di dalam al-Quran tentang kehidupan para Rasul yang juga berumahtangga (ar-Ra'd: 38). Demikianlah fitrah manusia, sama ada manusia biasa mahupun para Rasul, mereka tetap ingin hidup berteman dalam sebuah perkahwinan.
Hadis-hadis Rasulullah s.a.w juga banyak sekali anjuran supaya umat Islam berkahwin. Sebagai contoh, hadis yang bermaksud, "Perkahwinan adalah salah satu sunnahku. Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, maka sesungguhnya ia tidak meyukai aku." Hadis ini menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan satu sunnah dan sebagai umat Muhammad, kita perlulah mengikuti sunnah Baginda.
Kemudian dikatakan pula bahawa perkahwinan itu sebahagian dari iman seperti dalam hadis berikut yang bermaksud, "Seseorang yang menikah telah menenangkan separuh agamanya. Maka hendaklah ia bertakwa kepada Allah dengan menjaga separuh yang lain." Dalam menganalisa hadis ini, Imam al-Ghazali berpendapat, "dengan melangsungkan perkahwinan, seseorang itu akan dapat menjaga dirinya dari kerosakan agama atau akhlaknya. Dapatlah disimpulkan bahawa yang paling merosakkan akhlak seseorang itu ialah perut dan kemaluannya. Oleh sebab itu, dengan berkahwin akan terpeliharalah salah satu penyebab utama kerosakan agamanya. "
Dalam konteks ini, tentulah perkahwinan itu perlu disegerakan. Walau bagaimanapun, ada satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh berkahwin iaitu kemampuan. Ini kerana dalam sepotong hadis Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa memiliki kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. Hal itu lebih membantu menjaga pandangan serta kehormatan. Namun, apabila tidak mampu, hendaklah ia berpuasa. Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah." Hadis ini menunjukkan bahawa bila ada kemampuan, kahwinlah. Jangan ditangguhkan lagi. Sebaliknya, bagi yang tidak mampu, ia tidak boleh berkahwin sebaliknya berpuasalah untuk menjaga nafsunya.
Jadi, adalah jelas bahawa Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan dan ia melihat bagi yang mampu, lebih cepat berkahwin adalah lebih baik. Oleh yang demikian, dalam konteks sekarang, kalau sudah berkemampuan, kahwinlah dan jangan tangguh-tangguh lagi. Tambah pula jika penanguhan itu bagi tujuan-tujuan seperti untuk memenuhi kepuasan hidup bujang atau untuk mengelakkan diri dari dikongkong. Ini tentunya bertentangan dengan Islam kerana perkara-perkara ini akan mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang tidak baik.
Subscribe to:
Posts (Atom)